SEJARAH RINGKAS PERKEMBANGAN SEKOLAH HINGGA KINI
S. J. K. (C) Kuala Kemaman mula ditubuhkan pada tahun 1939. Nama asalnya Sekolah Hua Kiaw Kuala Kemaman. Ia merupakan salah satu cawangan dari Sekolah Hua Kiaw Chukai Kemaman pada ketika itu. Pada masa dahulu, disebabkan kekurangan kemudahan jalan raya dari bandar Cukai ke Kuala Kemaman, maka sampan menjadi pilihan pengangkutan utama. Pengangkutan tersebut sangat merbahaya dan tidak selesa bagi murid-murid sekolah rendah untuk berulang setiap hari ke sekolah. Justeru itu, atas usaha dan kerjasama orang-orang tempatan yang mengambil berat tentang pendidikan telah menubuhkan cawangan sekolah di Kuala Kemaman. Pada masa itu, sekolah tersebut hanyalah sebuah sekolah rumah atap yang dibina di tapak sekolah S.JK(C) Kuala Kemaman pada hari ini. Cikgu Yan Bing menjadi guru besar pertama, manakala Cikgu Fong De Hua adalah salah seorang guru pada ketika itu.
Pada 8hb Disember, 1941 Tanah Melayu telah jatuh ketangan penjajah Jepun. Berikutan daripada kejatuhan Tanah Melayu, operasi sekolah ini turut terjejas, dan ditutup selama lebih kurang 5 tahun. Pada tahun 1945, apabila askar Jepun mengundur, suasana kembali aman. Pada tahun berikutnya 1946, banyak sekolah dapat beroperasi semula. Oleh kerana Sekolah Hua Kiaw Kuala Kemaman kembali beroperasi lebih awal daripada Sekolah Hua Kiaw Chukai, maka terputuslah hubungan antara 2 buah sekolah ini. Masing-masing berdikari dengan pengurusannya tersendiri. Selepas tamat peperangan dunia kedua, ahli-ahli Lembaga Pengurus Sekolah telah berusaha membuka semula sekolah ini. Mereka termasuklah Chia Hui Tong, Khoo Siew Kiang, Soh Huat Keh, Tan Chee Peng, Soh Tian Sik, Ng Chang Ba, Tan Boon Tee, Sam Tai Tian, Tan Che Hap dan Ahli Lembaga Pengurus dari sekolah Hua Kiaw di bandar Chukai.
Pada masa itu, tingkat atas tiga buah rumah kedai di Kampung Cina Kuala Kemaman telah disewa untuk dijadikan bilik pembelajaran. Jawatan Guru Besar pada masa itu dipegang oleh Cikgu Hong Yun Liang. Oleh kerana Sekolah Rendah Bukit Kuang di seberang sungai pada masa itu hanya dapat membekalkan pendidikan sehingga ke tahun 4, maka murid-muridnya akan melanjutkan pelajaran tahun 5 di Sekolah Hua Kiaw Kuala Kemaman. Bilik darjah yang sedia ada di deretan kedai itu tidak lagi mampu untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah pada masa itu. Lantaran itu, pihak PIBG pada masa itu merasakan perlunya sekolah ini mempunyai bangunannya sendiri.
Kuala Kemaman merupakan sebuah perkampungan nelayan yang mejoriti penduduknya orang Melayu. Kebanyakan tanah di sini adalah hakmilik kaum Melayu. Ini telah merumitkan usaha Lembaga Pengurus untuk membina sekolah Cina di tempat ini. Menurut cerita orang-orang tua, setelah berunding dengan banyak pihak, akhirnya seorang Melayu yang bernama En. Ali Pilot dengan murah hatinya telah menyumbangkan sebahagian tanah persendiriannya untuk tujuan pembinaan sekolah Cina. Encik Ali Pilot tidak meninggalkan apa-apa dokumen berkenaan tanah ini setelah kematiannya. Beliau juga tidak meninggalkan waris di kawasan ini. Maka status keadaan yang sebenar berkenaan tanah sekolah ini tiada sesiapa yang dapat mengesahkannya. Pada bulan Ogos, 2004, tapak tanah di mana sekolah ini bertapak pada hari ini telah diwarta dan diistiharkan sebagai tapak simpanan sekolah Cina oleh pihak kerajaan.
Atas usaha bersama anggota Lembaga Pengurus dan masyarakat Cina tempatan, akhirnya. pada tahun 1951, bangunan sekolah yang terdiri daripada bangunan kayu siap dibina . Ia merangkumi 3 buah Bilik darjah , 1 bilik asrama guru besar, 2 bilik asrama guru dan sebuah perpustakaan. Oleh kerana bilangan pelajar tidak ramai, sistem kelas bercantum diamalkan sehingga tahun 2004. Mulai tahun 2005, bilangan pelajar yang meningkat telah menamatkan sistem ini.
Pada tahun 1953, demi menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta menjaga kebajikan guru-gurunya, Sekolah Hua Kiaw Kuala Kemaman menerima bantuan modal kerajaan. Gaji guru dibiayai oleh Lembaga Pengurus dan pihak kerajaan dengan kadar nisbah 50:50.
Selepas menerima bantuan Modal kerajaan, pada tahun 1954 Gaji guru dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan Sekolah Hua Kiaw Kuala Kemaman ditukar nama kepada Kuala Kemaman. Standard Chinese School. Pada tahun 1960, Sekali lagi ia ditukarkan nama kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kuala Kemaman.
Dengan peredaran zaman, perkembangan pembangunan bandar Cukai kian pesat. Sistem jalan raya juga bertambah baik. Golongan remaja kian ramai yang berhijrah ke bandar. Pelajar-pelajar dari Sek Ren Bukit Kuang terus melanjutkan pelajaran mereka di sekolah bandar. Penghijrahan tersebut menyebabkan pada penghujung tahun tujuh puluhan hingga awal tahun lapan puluhan, bilangan pelajar dari tahun satu hingga enam merosot hingga ke 20 orang sahaja, dan bilangan guru termasuk Guru Besar seramai 3 orang pada tempoh masa tersebut. Oleh yang demikian, sekolah ini telah mengalami risiko untuk ditutup. Pihak Lembaga Pengelola, PIBG dan guru Besar telah berusaha dengan gigih serta berbincang dengan PPD untuk menarik bilangan pelajar dari kawasan berhampiran demi meningkatkan lagi bilangan pelajar di sekolah ini. Pada hari ini, seluruh bilangan murid di sekolah ini adalah seramai 118 orang. Daripada jumlah 100 orang murid kaum Cina, hanya 3 orang sahaja yang tinggal di Kuala Kemaman, manakala selebihnya berasal dari bandar Cukai kemaman yang jaraknya lebih kurang 8 hingga 15 kilometer dari sekolah. Manakala 16 orang lagi terdiri daripada murid kaum Melayu dan 2 orang lagi kaum India. Kesemuanya berasal dari Bandar.
Mula | ||